Terre de Jeux 2024 Projek sempena Paris 2024

Terre de Jeux 2024 (yang bermaksud Tanah Temasya Sukan 2024 dalam bahasa Perancis) merupakan satu inisiatif penganjur Paris 2024 untuk melibatkan seluruh negara Perancis dalam penganjuran Sukan Olimpik Musim Panas 2024.[1] Pihak berkuasa tempatan dan wilayah serta struktur daripada pergerakan sukan (wilayah, jabatan, institusi awam antara majlis, bandar dan persatuan sukan) yang bergiat aktif dalam menggalakkan penglibatan sukan yang lebih inklusif dan mempromosikan Pergerakan Olimpik dalam kalangan penduduknya akan diberi pengiktirafan Terre de Jeux 2024.[2] Sejak dilancarkan pada Jun 2019, sebanyak 1,000 entiti di Perancis telah diberikan pengiktirafan tersebut.[3]

Apabila diberi label Terre de Jeux, kerajaan tempatan boleh mengakses peralatan dan maklumat Paris 2024, terutamanya hal berkaitan dengan program sukarela, larian obor dan jualan tiket.[4] Pihak tersebut boleh memanfaatkan publisiti Sukan Olimpik 2024 dan mempromosikan kawasan dan persatuan mereka, di samping memperoleh pelbagai peluang yang wujud semasa temasya sukan tersebut dianjurkan.[2] Inisiatif ini juga mewujudkan sebuah komuniti dan pihak yang terlibat boleh memperolehi pengalaman daripada komuniti tersebut, dan seterusnya mengembangkan bidang sukan di kawasannya.[5] Pengiktirafan ini juga membolehkan kerajaan tempatan tersebut untuk memohon sebagai Pusat Penyediaan Sukan (Games Preparation Centre) yang akan berperanan sebagai pusat latihan untuk atlet dari seluruh dunia.[6][7]

Kriteria

Pihak berkuasa tempatan dan persatuan sukan yang diiktiraf perlu mengadakan projek yang dilancarkan oleh OCOG Paris 2024 dan mengambil inisiatif sendiri seperti:[1]

  • Sambutan dan upacara yang berkaitan dengan Sukan Olimpik (Hari Olimpik, kawasan menonton acara Olimpik dan sebagainya)
  • Program yang mempromosikan kebaikan bersukan (program pendidikan, kesihatan dan perangkuman sosial)
  • Menyokong atlet tempatan
  • Pelaburan dalam kemudahan sukan (memohon sebagai Pusat Penyediaan Sukan)
  • Program budaya (Olimpiad Budaya)

Pihak yang diiktiraf

Kumpulan pihak yang diiktiraf yang pertama telah diumumkan pada November 2019.[8] Bilangan pihak yang diiktiraf terus meningkat sejak itu, dan kini kira-kira 1,000 entiti telah mendapat pengiktirafan tersebut. Selain daripada kerajaan tempatan yang berada dalam Perancis, kedutaan Perancis di luar negara juga boleh memohon dan mendapatkan label Terre de Jeux 2024.[9] Kedutaan Perancis di Jepun telah menjadi kedutaan yang pertama untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.[2]

Aktiviti yang dilaksanakan

Sebuah forum dalam talian yang melibatkan semua komuniti Terre de Jeux 2024 telah diadakan pada Oktober 2020 untuk membincang tentang rancangan dan aktiviti masa depan.[10] Antara perkara yang dibincangkan termasuklah hal berkaitan dengan Olimpiad Budaya, maraton orang awam, program sukarelawan, larian obor dan sebagainya.[11][12] Lapan belas kawasan yang diiktiraf label Terre de Jeux 2024 juga menganjurkan Ping Tour 2021, sebuah program yang dilancarkan oleh Persatuan Ping Pong Perancis sejak tahun 2013 untuk mempromosikan sukan tersebut.[13]

Program #ExploreTerredeJeux2024 turut telah dilancarkan untuk mempromosikan laluan jogging, larian, mendaki, berkayak, berbasikal dan menunggang kuda di kawasan-kawasan yang diiktiraf.[14] Program tersebut juga bertujuan untuk mempromosikan keindahan pemandangan kawasan-kawasan tersebut.[15]

Rujukan

WikiPedia: Projek sempena Paris 2024 https://www.insidethegames.biz/articles/1078167/fi... https://www.insidethegames.biz/articles/1096662/cl... https://www.insidethegames.biz/articles/1096890/pa... https://www.insidethegames.biz/articles/1099958/pa... https://www.insidethegames.biz/articles/1100770/cl... https://www.insidethegames.biz/articles/1105939/pa... https://newsrnd.com/news/2020-07-22-%0A-----------... https://olympics.com/ioc/news/paris-2024-club-laun... https://olympics.com/ioc/news/paris-2024-launches-... https://olympics.com/ioc/news/terre-de-jeux-2024-a...